Tuesday, April 8, 2014

Kebersihan

KEBERSIHAN KAWASAN BERSAMA
Kerja-kerja menyenggarakan kebersihan di kawasan bersama akan dikendalikan oleh syarikat/pekerja yang dilantik oleh pihak pengurusan. Sila beri kerjasama kepada mereka agar tugas mereka dapat dijalankan dengan sempurna. Apa-apa aduan mengenai ketidaksempurnaan tugas yang dijalankan hendaklah dikemukakan kepada pihak pengurusan menggunakan borang aduan yang disediakan.
 
PEMBUANGAN SAMPAH
Anda dilarang sama sekali membuang sampah merata-rata. Sekiranya kami mendapat aduan berkenaan unit anda, pihak pengurusan akan membuat siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Tentukan sampah dibuang dengan sempurna seperti memasukkannya dengan baik dalam beg plastik sebelum dibuang ke dalam tong sampah yang telah disediakan oleh pihak pengurusan. Barang-barang lusuh yang besar seperti perabot atau alat elektrik hendak tidak dibuang di tempat pembuangan sampah awam.  Anda bertanggungjawab melupuskannya sendiri melalui cara yang sesuai. Sekiranya didapati barang-barang lusuh tersebut dibiarkan di kawasan bersama, pihak pengurusan akan melupuskannya dan kos akan dituntut daripada penghuni petak berkenaan.

Keselamatan

KESELAMATAN KAWASAN
Penghuni diminta untuk menjaga keselamatan unit (rumah atau kedai) sendiri.  Sekiranya anda ingin meninggalkan rumah, pastikan pintu berkunci. Sila laporkan kepada pihak polis yang berhampiran sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini seperti pecah rumah, kecurian barang dan seumpama dengannya.

PEMASANGAN GRIL KESELAMATAN
Anda dinasihatkan agar menjaga keselamatan unit masing-masing misalnya dengan memasang gril keselamatan pada pintu, tingkap atau balkoni. Bagaimanapun, bagi menjaga keindahan bangunan dan untuk menentukan keseragaman, gril keselamatan hendaklah mengikut reka bentuk yang ditetapkan. Sila hubungi pihak pengurusan untuk menyemak reka bentuk yang dibenarkan.

Penggunaan & Penjagaan Harta Bersama

Harta bersama meliputi bahagian bangunan dan tanah di mana bangunan yang tidak termasuk dalam sebarang petak atau petak aksesori dan baki lot yang tidak terkandung dalam mana-mana blok sementara.
Contoh harta bersama ialah papan notis, tangga, gril untuk masuk dan keluar(berhampiran tangga), koridor, tong sampah, rumah sampah, kawasan longkang,  tangki air, pembetung, paip, wayar, kabel dan saluran yang memberi kemudahan kepada lebih daripada satu petak; bahagian luar semua bahagian bersama bangunan, surau, padang permainan dan kawasan rekreasi, jalan masuk, ruang terbuka, kawasan landskap, dan segala kemudahan dan pemasangan lain dan mana-mana bahagian tanah yang digunakan atau boleh digunakan atau dinikmati bersama oleh semua penghuni bangunan itu.
Kerjasama anda adalah dipohon untuk menentukan harta bersama dapat dijaga dengan baik agar kita dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan dan tiada seorang pun daripada kita dinafikan daripada menikmati kemudahan tersebut. Dengan itu anda atau mana-mana orang yang menjadi penghuni bersama atau tetamu anda DILARANG daripada melakukan perkara yang berikut :-
  1. Merosakkan atau mencacatkan mana-mana bahagian harta bersama.
  2. Membiarkan binatang belaan aatau ternakan di luar unit masing-masing sehingga mengganggu atau menimbulkan kemarahan penghuni lain.
  3. Memasak atau mengadakan jamuan atau apa-apa majlis di kawasan bersama tanpa mendapat kelulusan pihak pengurusan.
  4. Menyidai pakaian seperti di balkoni, tingkap atau koridor sehingga merosakkan pandangan kawasan.
  5. Membuat bising sehingga mengganggu penghuni lain.
  6. Menggunakan perkataan atau mempamerkan perilaku yang menimbulkan kemarahan panghuni lain atau yang memalukan.
  7. Meletakkan kereta, motorsikal atau apa-apa jenis kenderaan lain tidak ditempat yang dikhaskan.
  8. Meletakkan tanda arah, menampal poster atau notis di mana-mana bahagian harta bersama tanpa kebenaran pihak pengurusan.
  9. Mengubah lokasi mana-mana struktur atau bahagian harta bersama seperti yang telah disebutkan di atas.
  10. Membiarkan kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun menggunakan kemudahan harta bersama tanpa diiringi oleh ibu bapa atau orang dewasa.
  11. Berpakaian tidak sopan atau tidak sesuai semasa berada di kawasan luar daripada unit sendiri.
  12. Dilarang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian untuk kediaman atau kedai pada hari ahad, cuti umum dan selepas waktu pejabat.
PENGGUNAAN SURAU
  1. Kepada umat Islam khasnya, penting bagi kita menjaga kebersihan surau.
  2. Menjaga peralatan dan harta benda surau.
  3. Padamkan lampu dan kipas setelah selesai menggunakan surau.
  4. Tutup pili air selepas habis berwuduk.
  5. Sentiasa laporkan kepada pihak pengurusan sekiranya terdapat sebarang kerosakan.

Prosedur Pengubahsuaian Rumah

Mana-mana unit yang ingin melakukan sebarang ubahsuai perlu mendapat kebenaran JMB. Kerja-kerja pengubahsuaian tersebut perlu dilakukan dalam masa yang ditetapkan mengikut ketetapan Kaedah Dalaman.

Berikut adalah proses untuk ubahsuai rumah :-
  • Ubahsuai perlu mendapat kebenaran JMB dengan mengisi borang.
  • Pemilik/penduduk perlu memaklumkan JMB dalam tidak kurang TIGA (3) hari bekerja.
  • Deposit RM1000.00 perlu diserahkan bersama-sama borang permohonan.
  • Kerja ubahsuai perlu dilakukan dalam masa ditetapkan (Isnin-Sabtu sahaja, 8pagi-6ptg).
  • Kerja ubahsuai mesti tidak merubah struktur utama bangunan dan tidak menjejaskan kawasan bersama.
  • Kontraktor perlu mendaftar untuk mendapat kad pelepasan sementara.
  • Pemilik dan kontraktor perlu mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh JMB.
  • Pemilik dan kontraktor perlu memastikan keselamatan dan kebersihan kawasan bersama dijaga sepanjang masa. (Sampah perlu dibuang pada tempatnya).
  • Deposit hanya akan dipulangkan apabila JMB puas hati dengan proses yang telah dilakukan.
  • Apabila kerja-kerja pengubahsuaian selesai, pemilik perlu memaklumkan kepada JMB untuk pemeriksaan sebelum wang deposit boleh dikembalikan.
  • Jika terdapat sebarang perlanggaran, sebahagian atau keseluruhan wang deposit tersebut boleh digunakan untuk membaiki kerosakan yang terjadi.

Tugas dan kuasa Badan Pengurusan Bersama

Secara umumnya ramai yang berpandangan badan pengurusan bersama hanya menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan semata - mata. Ramai yang masih tidak mengetahui Tugas dan kuasa yang ada pada Badan Pengurusan Bersama. berikut adalah secara ringkasnya tugas yang patut diketahui oleh semua pembeli dan penghuni :-

1. menyenggarakan dan menjaga harta bersama dengan sempurna

2. menentukan dan mengenakan caj yang perlu bagi pembaikan dan penyenggaraan harta bersama.

3. menginsuranskan bangunan sebanyak nilai gantian bangunan itu terhadap kebakaran dan apa-apa risiko lain.

4.  menguatkuasakan kaedah-kaedah dalaman bagi penyenggaraan dan pengurusan bangunan.

5. mengutip daripada pembeli caj penyenggaraan dan pengurusan berkadaran dengan unit syer yang diuntukkan bagi petak mereka masing-masing;

6. membenarkan perbelanjaan bagi menjalankan penyenggaraan dan pengurusan harta bersama;

7. mendapatkan kembali daripada mana-mana pembeli apa-apa jumlah wang yang dibelanjakan oleh Badan berkenaan dengan petak itu dalam mematuhi apa-apa notis atau perintah

8. membeli, menyewa atau selainnya memperoleh harta alih atau harta tak alih bagi kegunaan oleh pembeli berkaitan dengan penikmatan harta bersama mereka;

9. mengatur dan mendapatkan perkhidmatan mana-mana orang atau ejen untuk mengusahakan penyenggaraan dan pengurusan harta bersamabangunan itu;

10. membuat kaedah-kaedah dalaman bagi penyenggaraan danpengurusan bangunan itu dengan sempurna; dan

11. untuk melakukan segala perkara yang semunasabahnya perlu bagi pelaksanaan tugasnya di bawah Akta 663

Lain-lain perbelanjaan rutin adalah seperti berikut :-

1. membayar bil elektrik

2. kerja-kerja pembersihan dan pengangkutan sampah

3. lanskap

4. keselamatan

5. pentadbiran

6. penyelengaraan am ( penyelenggaraan kecil )

Secara umumnya dibawah kawasan pentadbiran badan pengurusan bersama terdapat sekurang-kurangnya tiga pihak yang terlibat secara langsung :-

1. Badan Pengurusan Bersama
2. Pihak Berkuasa Tempatan
3. Pemaju

Apakah Itu Sinking Fund ?

Info Pengguna - Kumpulan Wang Pelepas - Sinking Fund  

Ramai yang masih berasa keliru dan tidak mengetahui mengapakah kita membayar Kumpulan Wang Pelepas atau dikenali sebagai “Sinking Fund” untuk pangsapuri sedangkan dalam masa yang sama kita juga membayar yuran penyelenggaraan.
Dalam hal ini terdapat empat persoalan yang terlintas dalam fikiran penghuni rumah bertingkat seperti ini.

1. Adakah Perbadanan Pengurusan (Management Corporation) mempunyai bidang kuasa di bawah undang undang untuk mengutip wang daripada pembeli rumah bertingkat?
 
2. Apakah peranan kutipan wang yang diambil khas untuk sinking fund ini jika dibandingkan dengan bayaran perkhidmatan penyelenggaraan?
 
3. Bolehkah perbadanan pengurusan menyalahgunakan kumpulan wang pelepas untuk pelbagai alasan?
 
4. Sekiranya berlaku penyalahgunaan kumpulan wang pelepas, apakah hak kita sebagai Pembeli Rumah?

 Penerangan:

Akta 46 Hakmilik Strata 1985 dan Jadual H Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989 menjelaskan sinking fund ataupun kumpulan wang pelepas diungkapkan sebagai tabung istimewa “special fund” dan ia boleh dikutip untuk memenuhi keperluan penting bangunan.
Pembeli rumah tidak harus keliru dengan kedua dua pengutipan wang oleh badan pengurusan ataupun management corporation iaitu sinking fund dan juga maintenance charge kerana masing - masing mempunyai fungsinya tersendiri dimana kutipan wang maintenance ataupun penyelenggaraan digunakan untuk perkhidmatan penyelenggaraan bangunan ataupun apartment sendiri misalnya untuk kerja-kerja pembersihan, dan untuk menyelenggara surau, dewan serbaguna, pengurusan dan sebagainya.

Sebaliknya sinking fund pula digunakan sebagai wang kecemasan /reserve fund dimana wang tersebut digunakan khas untuk membaiki kerosakan utiliti dan penggantian baru di apartment, selain itu sinking fund juga digunakan untuk mengecat keseluruhan bangunan beberapa tahun sekali untuk mengekalkan kualiti bangunan.

Pembeli rumah bertingkat secara peringkatnya, hendaklah pada tarikh mengambil pemilikan kosong “vacant position” mencarum kepada kumpulan wang penjelas dengan sepuluh peratus (10) daripada bayaran perkhidmatan. Pembeli hendaklah membayar deposit satu (1) bulan dan tiga (3) bulan pendahuluan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Penjelas mulai tarikh pemilikan kosong dan selepas itu caruman yang sedemikian hendaklah dibayar satu bulan terdahulu.

Mengikut Akta Strata 1985 dan Jadual H Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989 hanya membenarkan beberapa perkara terhad untuk Badan Pengurusan menggunakan wang sinking fund ini adalah demi kepentingan pencarum dan agar penggunaan wang yang adil dapat dijamin.
Namun apa yang membimbangkan Pembeli rumah bertingkat adalah penyalahgunaan kutipan tersebut, setelah meneliti undang-undang berkenaan adalah didapati terdapat beberapa kekurangan misalnya kekurangan panduan dalam isu cara pengumpulan dan penggunaan standard dan tidak dijelaskan dengan lebih terperinci lagi penggunaanya dan hadnya. Selain itu tidak juga dijelaskan dengan baik bagaimana wang itu harus di urus dengan transparensi yang lebih baik atau tanggungjawab badan Pengurusan untuk memberi penjelasan teliti akaun.

Walaubagaimanapun pembeli ataupun konsumer secara umumnya harus diberi pengadilan yang lebih baik dengan memberi lebih tanggungjawab kepada badan pengurusan untuk menjadi lebih akauntabiliti dan untuk mencapai motif pengumpulan sinking fund yang lebih mantap dan objektif.
Klausa 20 Jadual H mengatakan bahawa pemaju seharusnya menyimpan kutipan wang penjelas sebagai amanah sehinggalah badan Pengurusan ditubuhkan. Pemaju atau ejennya seharusnya memberikan audit tahunan kepada semua pembeli untuk menjelaskan berapa jumlah wang yang yang disimpan dan digunakan untuk keperluan bangunan.

Dengan ini kami pihak NCCC berharap Pembeli atau konsumer menjadi lebih peka dan bijak dalam masalah sinking fund dan perumahan bertingkat. Kami menerima banyak panggilan daripada Pembeli dan penghuni rumah beringkat untuk mendapat nasihat mengenai masah Perbadanan Pengurusan mereka yang menyalahgunakan wang sinking fund mereka, untuk pengetahuan ramai ini adalah salah disisi undang undang kerana sinking fund mempunyai matlamat tertentu dan didefinasikan oleh undang-undang mengenai pengunaannya.

Sekiranya terdapat penyalahgunaan wang sinking fund ajukan aduan kepada NCCC dan Kementerian Perumahan untuk tindakan lanjut ini adalah kerana penyalahgunaan wang tersebut adalah pecah amanah dan salah disisi undang undang.

Sumber Artikel: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional